Tuesday, April 21, 2020

M25: PEMBANGUNAN APLIKASI

Kitaran Hayat Pembangunan Sistem (Software development Life Cycle -SDLC)  
(MS 168-175)

Kitaran Hayat Pembangunan Sistem (Software development Life Cycle -SDLC) juga dikenali sebagai kitaran hayat pembangunan aplikasi. 

Kitaran hayat pembangunan aplikasi ialah istilah yang digunakan dalam kejuruteraan sistem dan perisian, sistem maklumat, dan pembangunan aplikasi yang menjelaskan proses 

  • merancang, 
  • mereka bentuk
  • menguji dan
  • mengimplementasi 


sesuatu aplikasi atau perisian. 

SDLC terdiri daripada satu kitaran fasa yang berjujukan dan menjadikannya sebagai pelan tindakan yang berkesan kepada pasukan projek. 

Selain itu, SDLC bantu mengesan status bagi penyempurnaan projek tersebut. Metodologi umum yang terdapat bagi SDLC ialah 


  • model air terjun (Waterfall model ), 
  • model RAD (Rapid Application Development model ), 
  • model lelaran (Iterative model ), 
  • model lingkaran (Spiral model ) dan 
  • model tangkas (Agile model ). 


Model hibrid pula ialah kombinasi yang terdiri daripada beberapa model. 

Dokumentasi adalah penting tanpa mengira model yang digunakan dan selalunya seiring dengan proses pembangunan. Misalnya, ada kaedah yang sesuai dengan jenis projek yang spesifik tetapi dalam analisis terakhir, faktor terpenting ialah kejayaan projek yang dibangunkan. 

Model air terjun digunakan sebagai model pembangunan aplikasi memandangkan model ini mirip kepada proses-proses dalam SDLC. Model ini merupakan model terawal, mudah difahami dan mudah diuruskan. Model air terjun mengandungi lima fasa secara umumnya, di mana setiap fasa dalam model air terjun distrukturkan iaitu satu fasa perlu diselesaikan sebelum ke fasa berikutnya. Maklumat bagi setiap fasa diperlukan untuk fasa yang berikutnya dan tidak boleh berpatah balik.

1. Fasa Analisis Masalah 

Fasa analisis masalah ialah proses mengenal pasti keperluan program dan mencari sebab sesuatu program dibina. 

Langkah-langkah sistematik harus dipatuhi untuk menyelesaikan masalah dan penting untuk kita memahami penyataan masalah dengan jelas. 

Permulaannya, analisis masalah yang dihadapi dengan menggunakan analisis IPO iaitu analisis input, proses dan output.

2. Fasa Reka bentuk Penyelesaian 

Fasa reka bentuk penyelesaian masalah dibuat setelah analisis IPO yang merupakan set keperluan untuk memulakan fasa mereka bentuk dilakukan. 

Walaupun projek yang kecil dan keperluan yang mudah, satu reka bentuk mental untuk pemahaman keperluan dengan penyelesaian perlu wujud. 

Fasa ini melihat kepada potensi penyelesaian yang wujud dan menentukan penyelesaian yang efektif dan efisien. Hal ini menjawab “bagaimana” membina penyelesaian terbaik.

3. Fasa Pelaksanaan Penyelesaian 

Tujuan utama fasa perlaksanaan penyelesaian adalah untuk mengubah reka bentuk kepada program yang akan dipasang pada perkakasan dan bersedia untuk melaksanakan penyelesaian. 

Selain itu, fasa ini bertujuan untuk membina dan menghasilkan sistem yang dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi. 

4. Fasa Uji dan Nyah ralat 

Dalam fasa ini, kod atur cara yang siap dibina akan diuji.  Fasa pengujian memainkan peranan penting dalam SDLC. 

Fasa ini mempunyai beberapa tujuan seperti yang berikut: 

a Memastikan semua keperluan dipenuhi. 
b Memastikan semua pengekodan berfungsi seperti yang dikehendaki. 
c Memastikan semua modul boleh berfungsi bila digabungkan. 
d Mendapatkan maklum balas daripada pengguna sistem untuk tujuan pembetulan dan 
   penambahbaikan. 
e Melibatkan pengguna sepenuhnya di peringkat pembangunan. 
f Mengesan ralat yang tercicir. 
g Membantu pasukan projek membuat dokumentasi dengan mengesan kesilapan oleh        
  pengguna. 
h Menyimpan keputusan ujian sebagai bukti penyempurnaan pembangunan sistem. 

5. Fasa Dokumentasi 

Dokumentasi merupakan suatu proses mengutip dan mengumpulkan data, mengumpulkan maklumat dan ringkasan seperti laporan pengujian yang dijalankan, carta alir, kod atur cara dan juga carta IPO. 

Dokumen-dokumen ini adalah sangat penting untuk rujukan pengguna sistem, pegawai IT dan juga kakitangan baharu di setiap fasa. 

Sebagai contoh, carta Gantt ialah dokumen penting kerana carta Gantt menetapkan tarikh akhir untuk setiap peringkat pembangunan.

No comments:

Post a Comment

SOALAN PENORMALAN KERJA KURSUS

  Link untuk menjawab soalan